Thursday, February 7, 2013

Cita-cita

Selamat pagi dan salam sejahtera

Aku masih ingat, dulu waktu kat sekolah rendah, cikgu bagi kad yang berbentuk buku dan suruh murid-murid isi nama, tarikh lahir, alamat, no telefon, cita-cita, hobi dan pendek kata semua yang berkaitan dengan diri seorang pelajar. Sampai hari ni aku tak tahu apa motif buku tersebut.  Mungkin untuk tujuan pendataan dan kemudian dibandingkan dalam jangka masa 20 tahun yang akan datang kot.  Nak tengok betul tak student tu dapat capai cita-cita seperti yang ditulis dalam buku tersebut.

Yang peliknya, buku itu diisi setiap tahun, dari darjah 1 sampai la darjah 6.  Kalau ada darjah 10 mungkin sampai darjah 10 jugak.  Maka selama 6 tahun berturut-turutlah aku mengisi kad tersebut dengan cita-cita yang berlainan.  Bukan satu cita-cita yang perlu disenaraikan, tetapi tiga sekaligus.  Pernah nak jadi bomba lah, polis lah, tentera lah, jurutera lah, model lah, pramugara lah, arkitek lah, driver F1 lah, perompak lah *ehh!! dan macam macam lagi.

Tapi sekarang, aku ambik course yang langsung takda kena mengena dengan mana-mana pekerjaan yang disenaraikan sebentar tadi.  Nak jadi doktor tak ada dalam senarai pun.  Sampai sekarang aku masih musykil dan tertanya-tanya kenapa la aku sekarang dalam medschool. 

Nampak sangat buku tersebut seperti untuk menipu diri sendiri walaupun mungkin kewujudan buku tersebut adalah untuk cikgu/ibu bapa keep their children on the right track agar cita-cita mereka sejak kecil kesampaian.  Kan nampak macam usaha murni pihak kementerian pelajaran kannn.

Jadi kawan-kawan, apa yang aku boleh simpulkan kat sini adalah, tak semua yang kita rancang itu akan terjadi, kita hanya mampu merancang, Tuhanlah yang menentukan.

*****************************************************************************************

Sebenarnya aku bukan nak cerita pasal buku tersebut, anggap saja bebelan sebentar tadi merupakan muqadimah penulisan saya kali ini.

Semalam, aku sempat merasa bagaimana menjadi seorang tentera/polis yang bersenjata dan juga seorang pemandu kereta lumba vrooommm.  Ya, ini bukan lah rekaan ataupun cerita dongeng, aku benar-benar telah mengalami pengalaman menjadi seorang tentera dan pemandu kereta lumba.

Pertama sekali, aku menjadi pemandu kereta lumba tanpa disengajakan, ketika aku sedang berjalan-jalan di pusat beli belah terkemuka yang letaknya hanya 2km dari rumah aku, aku melihat sebuah mesin yang disertai dengan tempat duduk seperti kereta lumba, lengkap dengan kotak gear, pedal minyak dan break.

Tanpa berfikir panjang, aku pun duduk di kerusi tersebut.  Dalam sekelip mata sahaja, keadaan berubah menjadi gelap gelita sebelum terang kembali sesaat selepas itu.  Setelah keadaan menjadi sepertia biasa, aku mendapati aku tidak lagi berada di pusat beli belah tersebut, sebaliknya aku berada di Litar Antarabangsa Sepang dan berada di tempat duduk kereta F1.

Menyedari akan hal tersebut, aku tidak teragak-agak untuk melihat kiri dan kanan. Ternyata di sebelah kiri aku adalah Michael Schumacher dan di sebelah kanan pula, Fernando Alonso.  Aku amat teruja berada di atas liter bersama-sama mereka.  Sebaik sahaja lampu hijau dinyalakan, aku terus menekan pedal minyak sekuatnya dan memecut laju. Ya aku berjaya meninggalkan kedua-dua pelumba ternama tersebut jauh di belakang.  Adegan potong-memotong turut terjadi, tetapi disebabkan kecekapan aku mengendalikan kereta, aku berjaya mendahului pelumba-pelumba lain.

Akhirnya, aku berjaya memenangi pelumbaan yang sengit tersebut.  Kemudian, aku keluar daripada kotak mesin tersebut, aku melihat terdapat pistol di hadapan aku.  Aku pun mengambil pistol tersebut dan sebaik sahaja aku mencapai pistol, keadaan mula berubah.  Guruh berdentum-dentam, kilat sabung-menyabung, angin bertiup kencang, sekarang aku berada di sebuah pulau yang tidak diketahui namanya.

Di pulau tersebut, aku ditugaskan bersama-sama dengan seorang kawan undecover untuk menyiasat misi penyeludupan minyak masak.  Kami berusaha untuk menyusup ke bahagian dalam pulau tanpa diketahui musuh.  Tapi sayangnya, musuh telah menghidu pergerakan kami, dan kami telah diserang.  Maka, berlakulah adegan tembak menembak di situ. Kami saling membalas tembakan dan aku berjaya membunuh ramai musuh.  Tetapi malangnya, teman sejawat aku telah tumpas ditangan musuh.  Melihat keadaan tersebut, aku sedaya upaya membalas dendam untut menuntut kematiannya.  Bagi aku, biarlah hutang darah, dibalas darah.

Berbekalkan semangat yang kental, aku berjaya menumpaskan sindiket tersebut walaupun seorang diri.  Alhamdulillah.  Selesai sahaja misi tersebut, langit kembali cerah dan keadaan menjadi seperti biasa.

Aku yang kepenatan mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah.  Pengalaman menjadi seorang pemandu kereta lumba F1 dan seorang perisik amatlah berharga bagiku.  Walaupun cita-cita menjadi pelumba dan polis tidak kesampaian, cukuplah sekadar bermain di arcade.  Ya, ARCADE!! mungkin itulah tujuan adanya arcade ataupun tempat yang sewaktu dengannya selain menghisap duit pelanggan melalui penjualan token yang dulunya RM1 dapat 2 token, sekarang RM1 hanya 1 token.

Namun sekarang, dunia semakin kehadapan dan semakin maju, buat siapa-siapa yang nak dedahkan anak-anak mereka kepada kerjaya yang profesional yang menjanjikan gaji yang lumayan kelak, bolehlah pergi ke KidZania (klik link untuk ke website KidZania) untuk pendedahan awal.

Terima kasih kawan-kawan :)
Kredit kepada Ashley
*I love you si pengambil gambar :)

No comments:

Post a Comment